KEHIDUPAN SEORANG MAHASISWA

Wisuda

Apabila menjejakkan kaki di universiti, kehidupan sebagai seorang mahasiswa pun bermula. Sepanjang bergelar mahasiswa, kehidupan boleh menjadi sangat menyeronokkan atau sebaliknya. Berbalik kepada mahasiswa itu sendiri, pengalaman yang dirasai adalah sangat berbeza bergantung kepada bagaimana mereka mencorakkan kehidupan mereka. 

    Ada sesetengahnya  memilih untuk fokus kepada akademik sahaja. Ada juga yang suka mengikut kawan. Ada juga yang hanya masuk ke universiti atas keinginan keluarganya. Ada juga yang suka berprogram malah memilih untuk mencabar diri sendiri untuk keluar dari zon selamat mereka. Harus diingat bahawa kehidupan mahasiswa bukan bergantung kepada orang lain tetapi diri sendiri. Mahasiswa perlu berkorban dari segi masa, tenaga dan wang.

    Apa yang dikatakan dengan pengorbanan dari segi masa? Masa itu emas. Tepat. Tetapi bukan semua pandai menghargai masa. Istilah bosan tidak harus wujud dalam kamus seorang mahasiswa. Kehidupan mereka dapat dikatakan dengan satu perkataan iaitu ‘sibuk’. Ya, sibuk untuk mencari ilmu. Pendek kata, mereka tiada masa untuk berhibur.

     Dari segi tenaga pula,  mereka perlu menyumbang tenaga dengan melibatkan diri dalam program-program yang berimpak tinggi. Adakah penglibatan ini wajib? Jawapannya, tidak. Inilah yang dikatakan nilai tambah yang perlu dicari oleh setiap mahasiswa dalam mempersiapkan diri bagi menempuh dunia pekerjaan yang mencabar. Di situ, mereka dapat belajar perkara baharu yang tidak dapat dipelajari dalam kuliah. 

    Tidak dapat dinafikan bahawa mahasiswa banyak berhabis duit demi memegang segulung ijazah. Latar belakang setiap mahasiswa terdiri daripada pelbagai latar belakang yang kebanyakkannya daripada keluarga yang sederhana atau kurang berkemampuan. Mereka terpaksa menjadi penghutang dalam usia yang muda. Ada sesetengah mencari wang sampingan dengan menjadi pekerja separuh masa malah ada yang berbisnes kecil-kecilan. 

Inilah realiti kehidupan seseorang yang bergelar mahasiswa. 

Advertisements